|

Pengurangan Penggunaan Vape Memerlukan Tindakan Seluruh Masyarakat

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) mengambil maklum kebimbangan masyarakat berhubung peningkatan penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja dan murid sekolah, walaupun pelbagai aktiviti penguatkuasaan telah dilaksanakan di seluruh negara.

PPPKAM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas usaha berterusan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan penggunaan vape. Namun, cabaran mengawal promosi, penjualan dan penggunaan vape masih berterusan, menunjukkan bahawa isu ini bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi merupakan cabaran kesihatan awam dan sosial yang memerlukan penglibatan seluruh masyarakat. Adalah tidak wajar untuk meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada anggota kesihatan dan pasukan penguatkuasaan yang saban hari berusaha melindungi kesihatan rakyat.

PPPKAM tidak pernah melihat masalah yang wujud berkaitan dengan vape ini adalah disebabkan oleh kelemahan polisi, pendekatan kawalan strategik tidak berkesan atau kegagalan penguatkuasaan KKM semata-mata, tetapi mengambil maklum faktor-faktor luaran yang menjadi pemangkin kepada peningkatan isu vape. Ekosistem vape yang luas dan terbuka menjadikan penanganan faktor-faktor luaran memerlukan tindakan komprehensif, bersepadu dan menyeluruh bukan sahaja daripada KKM dan jentera penguatkuasaannya, tetapi juga komitmen yang sama daripada kementerian-kementerian yang berkaitan, majlis perbandaran tempatan, institusi-institusi pendidikan, NGO, masyarakat dan badan-badan advokasi samada diperingkat n asional mahupun lokal.

Oleh kerana itu, isu yang lebih relevan ialah memikirkan dan merangka strategi tentang apakah yang boleh kita lakukan secara bersama untuk melindungi masyarakat terutama generasi muda daripada terjebak dengan vape. PPPKAM percaya bahawa kejayaan menangani isu ini memerlukan pendekatan whole-of-society, dan menyeru NGO, institusi pendidikan, ibu bapa, pemimpin masyarakat serta sektor swasta untuk berganding bahu bersama KKM dalam usaha pencegahan dan perlindungan kesihatan generasi muda.

  1. Menjadikan pencegahan vape sebagai tanggungjawab sosial nasional

Persatuan menyeru agar isu vape dilihat sebagai tanggungjawab bersama seluruh negara dan bukan semata-mata tanggungjawab KKM. NGO, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), institusi pendidikan, pemimpin agama, pemimpin komuniti, majikan, sektor swasta, media dan penggiat media sosial mempunyai pengaruh besar dalam membentuk norma sosial yang sihat dan melindungi generasi muda daripada risiko ketagihan nikotin. Usaha melindungi generasi muda daripada vape perlu menjadi satu gerakan nasional yang berasaskan keprihatinan, pendidikan dan tanggungjawab bersama.

  1. Memperkukuh advokasi dan pendidikan kesihatan secara berterusan

Usaha mendidik masyarakat mengenai risiko kesihatan vape perlu dilaksanakan secara meluas, konsisten dan berterusan. Maklumat yang tepat perlu disampaikan kepada ibu bapa, guru, remaja dan komuniti agar mereka memahami kesan nikotin terhadap perkembangan otak, prestasi pembelajaran, kesihatan mental dan risiko ketagihan jangka panjang. Pendidikan kesihatan tidak boleh berlaku hanya di klinik atau sekolah, tetapi perlu menjadi gerakan masyarakat yang merangkumi media sosial, komuniti setempat, tempat kerja dan institusi keagamaan.

  1. Menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan

Masyarakat mempunyai peranan penting dalam membantu pihak berkuasa mengenal pasti aktiviti penjualan, promosi dan pengedaran vape yang menyalahi undang-undang, khususnya kepada golongan bawah umur. Kerjasama dalam bentuk penyaluran maklumat yang bertanggungjawab akan membolehkan tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan. Membantu melaporkan kesalahan adalah jauh lebih bermakna daripada sekadar mengkritik usaha yang sedang dijalankan. Sebarang maklumat dan aduan berkaitan ketidakpatuhan Akta 852 boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp ke talian 010-860 8949 atau https://jomlapor.com.

  1. Memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan

Pakar perubatan kesihatan awam, pasukan penguatkuasaan, pegawai kesihatan persekitaran, anggota kesihatan sekolah dan pelbagai petugas lain memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan risiko kesihatan akibat vape. Mereka memerlukan sokongan moral, kerjasama komuniti dan keyakinan masyarakat untuk terus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan. Setiap kejayaan menghalang seorang remaja daripada terjebak dengan ketagihan nikotin adalah satu pelaburan besar terhadap masa depan negara.

Persatuan ingin menegaskan bahawa memerangi vape adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia. Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan pasukan penguatkuasaan tidak mampu berada di setiap sekolah, setiap rumah dan setiap telefon pintar. Namun masyarakat boleh. Sebab itu kemenangan terhadap vape tidak akan dicapai oleh KKM sahaja, tetapi melalui tindakan kolektif seluruh rakyat Malaysia.

Sekiranya masyarakat memilih untuk menyalahkan, masalah ini akan terus berlarutan. Tetapi sekiranya masyarakat memilih untuk bekerjasama, melapor, mendidik dan menyokong usaha kesihatan awam, kita mempunyai peluang yang lebih besar untuk melindungi generasi muda daripada menjadi mangsa vape dan penyakit berkaitan pada masa hadapan.

PPPKAM mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak, NGO, agensi atau individu yang berkongsi aspirasi untuk melindungi generasi muda daripada risiko vape. Pihak yang berminat boleh menghubungi PPPKAM melalui +603-89578992 atau [email protected]. Bersama-sama, kita mampu melindungi kesihatan dan masa depan generasi Malaysia.

Sekian, terima kasih.

“BERBAKTI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

Prof. Dr. Mohamed Rusli Abdullah
Pakar Perubatan Kesihatan Awam; dan
Presiden, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
9 Jun 2026 | 2.45 petang

Muat turun artikel penuh : Pengurangan Penggunaan Vape Memerlukan Tindakan Seluruh Masyarakat

Similar Posts