| |

ISU PENGGUNAAN PrEP: PENDEKATAN SAINTIFIK DAN STRATEGI PENCEGAHAN, BUKAN GALAKAN KEPADA GEJALA SOSIAL

KENYATAAN MEDIA 

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia ingin memberi pencerahan berhubung kegusaran segelintir pihak mengenai penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dalam Program Pencegahan dan Kawalan HIV di Malaysia. Terdapat dakwaan bahawa pemberian PrEP akan menggalakkan tingkah laku seks songsang dan meningkatkan kes HIV.

Pihak kami ingin memperbetulkan persepsi ini berdasarkan fakta perubatan dan bukti saintifik seperti berikut:

  1. PrEP Tidak Menggalakkan Tingkah Laku Seksual Berisiko

Dakwaan bahawa PrEP menjadi punca kepada peningkatan aktiviti seks songsang adalah tidak tepat. Aktiviti berisiko ini telah pun meluas dan sukar dikawal sebelum PrEP diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2015 atau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2023. Kajian mendapati bahawa golongan berisiko tetap akan mengamalkan tingkah laku tersebut dengan atau tanpa PrEP. Faktor yang menyumbang kepada aktiviti ini adalah kompleks, melibatkan kegagalan sistem keibubapaan, pengaruh media sosial, pornografi, dan faktor persekitaran, bukan disebabkan oleh kewujudan ubat pencegahan. Oleh itu, hujah risk compensation (tanggapan bahawa individu akan lebih berani mengambil risiko jika dilindungi) tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan pemberian PrEP yang terbukti berkesan.

  1. PrEP Sebagai Strategi “Harm Reduction”  

PrEP adalah satu bentuk strategi pencegahan yang penting untuk mengelakkan penularan virus HIV. Matlamat utama PrEP bukan untuk menghakimi gaya hidup, tetapi sebagai strategi “harm reduction” (pengurangan kemudaratan) untuk menyekat penularan virus dalam masyarakat agar sistem kesihatan negara tidak terbeban dengan kos rawatan AIDS yang jauh lebih mahal di masa hadapan. Kajian klinikal global membuktikan penggunaan PrEP secara konsisten mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV melalui hubungan seksual.

  1. PrEP Mendorong Perubahan Tingkah Laku Positif (Behaviour Change)

Salah faham utama adalah anggapan bahawa PrEP perlu diambil selama-lamanya. Hakikatnya, PrEP hanya diambil ketika seseorang berada dalam fasa berisiko tinggi dijangkiti HIV dan ia disertakan dengan Kaunseling Pengurangan Risiko (Risk Reduction Counselling) yang intensif. Data menunjukkan keberkesanan kaunseling ini apabila hampir 20% individu yang berhenti mengambil PrEP berbuat demikian kerana mereka tidak lagi berada dalam kategori berisiko tinggi dijangkiti. Ini membuktikan bahawa program PrEP di fasiliti kerajaan berjaya mendidik pengguna untuk mengubah gaya hidup kepada yang lebih selamat, selari dengan model penyampaian perkhidmatan yang menekankan kaunseling berterusan.

  1. Menjawab Dakwaan Peningkatan Penyakit Kelamin dan HIV

Terdapat salah faham bahawa PrEP menyebabkan peningkatan kes penyakit kelamin (STI) dan HIV. Sebaliknya, peningkatan statistik penyakit ini yang dilaporkan adalah kerana ia berjaya dikesan melalui saringan berkala yang diwajibkan kepada pengguna PrEP—golongan yang sebelum ini tidak pernah disaring atau dikesan. Ini juga merupakan perkembangan positif kerana penyakit kelamin seperti Syphilis dapat dikesan lebih awal, dirawat sehingga sembuh, dan seterusnya mengelakkan penularan kepada pasangan yang sah atau bayi dalam kandungan.

  1. Melindungi Pasangan Suami Isteri dan Keluarga

Penggunaan PrEP amat kritikal untuk melindungi wanita dan keluarga. Data menunjukkan 20% hingga 40% daripada golongan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) yang positif HIV sebenarnya turut mempunyai hubungan seks dengan wanita (bisexual) dan berkahwin. Kebanyakan isteri kepada golongan ini tidak menyedari status suami mereka dan berisiko tinggi dijangkiti. PrEP juga sangat penting bagi pasangan sero-discordant (di mana salah seorang positif HIV dan pasangannya negatif), termasuk pasangan suami isteri heteroseksual, bagi melindungi pasangan yang tidak berdosa daripada dijangkiti.

  1. PrEP Melengkapkan, Bukan Menggantikan Nilai Murni

Model penyampaian PrEP di Malaysia tidak berdiri dengan sendirinya. Ia dilaksanakan bersama kaunseling pengurangan risiko yang menekankan pendekatan “A-B-C-D”:

  • A:Abstinence(Menahan diri dari seks)
  • B:Behaviour Change(Perubahan tingkah laku)
  • C:Condom(Penggunaan kondom)
  • D:Drugs(Ubat pencegahan seperti PrEP).

Matlamat jangka panjang intervensi kesihatan awam adalah untuk mencapai perubahan tingkah laku berisiko sehingga amalan hidup yang sepenuhnya selamat. Namun, pendekatan perubahan tingkah laku memerlukan masa, sokongan berterusan dan intervensi berperingkat. Dalam tempoh peralihan ini, PrEP berperanan sebagai satu langkah pencegahan HIV yang pragmatik dan berasaskan pendekatan kesihatan awam (public health approach), sementara individu menjalani proses perubahan tingkah laku tersebut.

Pengambilan PrEP sebenarnya menunjukkan tahap tanggungjawab yang tinggi seseorang terhadap kesihatan diri, bukan sahaja bertujuan melindungi individu yang berada dalam fasa berisiko tinggi, tetapi turut mencegah penularan HIV kepada orang di sekeliling mereka, termasuk pasangan dan anak-anak.

Kesimpulannya, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam menyokong penggunaan PrEP sebagai sebahagian daripada strategi kawalan HIV negara. Usaha ini adalah demi kesihatan awam, perlindungan institusi keluarga, dan kemampanan sistem kesihatan negara.

Muat turun artikel penuh dalam pdf DI SINI

Sekian, terima kasih.

PROF. DR. MOHAMED RUSLI BIN ABDULLAH
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
26 Disember 2025

Similar Posts